Anda dijemput hadir beramai-ramai ke Ekspo Beli Barangan Malaysia 2011 yang akan diadakan pada 25-29 Mei 2011 di PWTC KL masuk adalah percuma. Jom jadi pengguna yang patrotik !!
Sebenarnya sejarah ekspo ini bermula dengan nama kempen belilah barangan buatan Malaysia yang dilancarkan pada 4 April 1984 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan pelbagai tujuan termasuklah menjana ekonomi industri tempatan tidak kira industri berat, sederhana mahupun industri kecil.
Ketika krisis ekonomi melanda negara 1998, dalam program Bersama Perdana Menteri 14 Julai 1998, antara lain ketika beliau ditanya oleh Presiden FOMCA, Prof. Dr. Hamdan Adnan mengenai langkah yang dimainkan oleh kerajaan mendepani krisis tersebut,
Perdana Menteri menjelaskan bahawa pada tahun 1998 juga dilancarkan satu kempen yang bernama Kempen Ekspo Cintailah Malaysia di mana sebanyak 400 gerai barangan tempatan dipamerkan untuk tontonan orang ramai dengan harapan dapat memperkenal dan menarik minat orang ramai terhadap barangan tempatan.
Kempen Belilah Barang Buatan Malaysia sebenarnya tidak mati begitu sahaja kerana pelbagai program dan aktiviti dilakukan untuk memberi kesinambungan terhadap kempen tersebut, cuma orang ramai yang seolah-olah lupa akan kempen tersebut kerana kempen itu digembar-gemburkan ketika adanya sambutan hari-hari tertentu seperti Hari Peladang dan juga ketika negara menghadapi krisis ekonomi seperti sekarang.
Tegasnya, ketika ekonomi pulih dan stabil, ramai antara kita yang tidak memandang atau memperlekeh barangan tempatan hinggalah mengalih perhatian terhadap barangan import. Oleh itu, dengan mudah pula kita membantu mengukuhkan ekonomi negara lain dengan cara membeli barangan buatan mereka tanpa memikirkan kesan di sebaliknya
Sewajarnya kempen Belilah Barang Buatan Malaysia diaktifkan semula supaya masyarakat kita menghargai barang-barang yang kita hasilkan apatah lagi ada antara barang-barang tersebut yang berkualiti dan mampu menembusi pasaran antarabangsa. Maka, apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu melancarkan semula kempen ini seluruh negara 16 Januari ini.
Rasa-rasanya tindakan ini tepat pada masanya demi mengawal pengaliran keluar wang kita ke negara luar, kecuali barang-barang yang memang tidak cukup bagi keperluan domestik.
Sejak dulu lagi, kempen ini secara simboliknya mahu mendidik pengusaha di negara kita memberanikan diri, mengubah persepsi dan meningkatkan keupayaan meneroka bidang yang selama ini dikuasai oleh orang luar, terutamanya barang-barang berasaskan perkilangan.
Kempen ini juga sebenarnya memberi dorongan kepada pengusaha tempatan meningkatkan kualiti barang yang dihasilkan supaya setanding atau menyaingi barangan dari luar, diyakini oleh masyarakat tempatan agar terus menyokong industri tempatan.
Tidak dinafikan juga bahawa sokongan masyarakat negara kita terhadap barangan tempatan sangat penting untuk menentukan jatuh bangun industri dan juga barangan tempatan.
Contohnya, jika sesuatu barang yang kita keluarkan mendapat sambutan menggalakkan, bermakna kita menghidupkan industri tempatan manakala di pihak industri pula, mereka tentulah melipatgandakan usaha untuk mengekalkan industri mereka, melebarkan perniagaan dan menambah baik mutu barangan yang dikeluarkan dengan harapan dapat memuaskan hati pengguna.
Menyokong industri tempatan bermakna kita dapat menyumbang ke arah kemantapan ekonomi negara dalam pelbagai aspek termasuklah peluang pekerjaan yang dapat dinikmati oleh penduduk tempatan.
Kadar pengangguran yang dapat kita kurangkan akan mengecilkan juga risiko jenayah dan segala macam budaya yang menghimpit remaja masa kini.
Namun, tidak semestinya kempen ini menolak seratus-peratus barangan dari luar. Masalah cita rasa, kuasa beli dan keinginan memenuhi keperluan yang memang tidak ada di negara kita memerlukan kita bergantung juga kepada barangan dari luar.
Apa-apa pun, kempen ini akan dapat membendung tabiat menggila penduduk negara kita terhadap barangan dari luar. Adalah malang bagi kita jika kita mendewa-dewakan barangan dari luar sedangkan barangan tersebut ada di negara kita. Diharapkan kempen ini dapat dijalankan secara berterusan kerana sudah menjadi tabiat masyarakat kita yang mudah lupa dan perlu pula digerakkan melalui kempen.
Untuk mengetahui lokasi dan masa lain ekspo beli barangan Malaysia 2011, anda boleh layari laman web dibawah ini.
No comments:
Post a Comment